Tuesday, June 29, 2010

Bapa saya

1998

"Nama saya Azrul Bin Abdul Halim. Saya berasal dari Shah Alam, Selangor. Saya anak kedua dari tiga orang adik beradik."

Fikirnya sudah selesai. Jadi Azrul berkira-kira hendak duduk.

"Bapa kamu kerja apa?" Soal Cikgu Razak tiba-tiba.

"Doktor," balas Azrul, pendek.

"Ibu?"

"Ibu saya seorang guru."

"Bagus. Duduk Azrul! Okay, pelajar seterusnya! Saya nak kamu kenalkan diri, anak ke berapa, ayah dan ibu kerja apa, dan asal dari mana!"

Pena mula tak sedap duduk.

Abdul Ghaffur yang duduk di sebelah Azrul pula cepat-cepat berdiri.

"Nama saya Abdul Ghaffur bin Datuk Sulaiman. Saya anak tunggal. Ayah saya seorang ahli politik. Ibu saya pula seorang ahli perniagaan . Saya dari Kuala Lumpur."

Pena telan air liur.

"Bagus. Next!"

Abdul Ghaffur duduk tertib. Kini giliran Mail pula. Dia bingkas bangun dan perkenalkan diri.

Seorang demi seorang pelajar berdiri dan perkenalkan diri serta bercerita serba sedikit latar belakang keluarga kepada Cikgu Razak.

Pena pandang Daniel yang duduk di hadapannya. Kemudian dia toleh ke kanan, melihat Hafizi pula. Mereka berdua sedang kusyuk mendengar pelajar lain memperkenalkan diri.

Peluh jantan memercik di dahi Pena. Dia mula gementar.

Masa berlalu. Kini, sampai gilirannya pula.

"Nama saya Pena. Saya anak ke-11 dari 11 orang adik beradik. Saya berasal dari Kelantan."

Ayatnya terhenti di situ. Pena tidak pasti hendak teruskan atau tidak.

"Ayah kamu kerja apa?" Soalan itu ditanya juga.

Payah benar rasanya Pena hendak buka mulut.

"Ayah saya, err seorang petani."

"Ibu?"

"Errr, ibu saya..err, tidak bekerja, cikgu,"

Cakapnya putus-putus. Suaranya halus. Seakan berbisik.

Dia terasa kerdil. Terasa terasing. Terasa tidak layak belajar di sekolah elit itu.

Bukan sekali itu sahaja dia terasa begitu. Sudah berkali-kali. Sejak dari zaman sekolah rendah. Bersambung pula ke sekolah menengah. Kerap benar perasaan rendah diri membalut hatinya.

Bila ditanya tentang bapanya, Pena berat mulut untuk bercerita. Baginya, tidak ada apa-apa tentang bapanya yang boleh dibanggakan. Lebih-lebih lagi apabila dia mula bersekolah di sekolah asrama penuh terkemuka, dikelilingi pula para pelajar dari golongan berada.

Bapa Pena cuma seorang petani tua yang punya tanah sekangkang kera.

Rumahnya rumah kampung berlantai dan berdinding papan.

Jika hujan turun, berceratuklah besen dan baldi di dalam rumah, buat menadah air hujan yang menitis dari bumbung yang tiris.

Bapanya tidak sekacak bapa Azrul. Seorang dotor yang rambutnya digunting pendek. Siap dengan persalinan serba putih dan bersih.

Bapanya juga tidak sesegak bapa Ghaffur. Seorang ahli politik yang sentiasa berbaju kemeja lengkap bertali leher dengan persalinan sut yang harganya beratus-ratus. Entah-entah cecah ribu-ribu.

Setiap hari, bapanya cuma berbaju T berjenama pagoda, berseluar lusuh dan bersemutar.

Sesekali, bapanya hanya berkain pelikat dan tidak berbaju.

Badannya berbau hamis.

Matanya merah bengis.

Nafasnya berbau tembakau.

Giginya kuning rongak.

Rambutnya kusut.

Misai dan janggutnya berserabut.

Wajahnya tua berkedut.

Seingat Pena, seumur hidup dia tidak pernah melihat bapanya melawa. Selekeh setiap masa!

Pena yakin, bapanya tidak boleh dibanggakan langsung.

Hendak diajak orang tua itu berjalan-jalan di bandar Kota Bharu pun terasa malu. Kalau adapun, sengaja Pena jalan jauh-jauh buat-buat tidak kenal.

Hubungan Pena dan bapanya juga tidak mesra. Mereka jarang bertegur sapa. Semenjak dari kecil sehinggalah dia besar, bapanya memang jarang menegur dia.

Bukannya Pena sombong atau tak hormat orang tua. Dia sedar, dia si muda yang patut mulakan bicara. Jadi, selalulah juga Pena ringan-ringankan mulut bertanya khabar dia. Bicara Pena panjang persis ucapan menteri, balas si bapa cuma sepatah dan tak beerti.

Itu yang buat Pena segan. Sakit hati pun ada. Nak buat macam mana, bapanya kalau dengan anak-anak memang pendiam.

Entah apalah yang Pena boleh banggakan tentang bapanya itu. Banyak sangat yang negatif dari yang positif.

Itu belum cerita bab perangai panas baran orang tua itu. Silap hari bulan, kalau ditulis, berperenggan -perenggan. Malah, berkajang-kajang.

Memang memalukan.

2010

Pena duduk melangut di hadapan televisyen sambil melahap ais krim. Telefon berdering tiba-tiba. Cepat-cepat telefon itu diangkatnya.

"Yo! Wassup Mum!" sapa Pena.

"Janganlah cakap orang putih dengan mak Pena oi!"

"Hee, assalamualaikum mak"

"Waalaikumussalam. Anak mak sihat?"

"Sihat dan boroi. Mak sihat?"

"Alhamdulillah. Mak sihat. Cuma ayah je yang sakit-sakit sikit. Biasalah dah tua"

Pena diam. Dia tarik nafas dan hembus lambat-lambat.

"Macam mana kerja baru?"

"Okay. Seronoklah mak. Tapi hari-hari balik lambat"

"Kamu kerja elok-elok. Kerja kat situ biar lama pun tak apa. Mak dengan ayah pun suka juga kamu kerja wartawan," ceria sungguh suara mak.

"Ayah kamu hari-hari duk cerita pasal kamu. Orang datang rumah je, diceritanya kamu jadi wartawan. Kalau pergi warung Mat Nor pun sama. Satu warung tu tenggelam dengan suara dia bercerita yang anaknya jadi wartawan.

Pena diam. Dia tidak pasti hendak memberi reaksi yang bagaimana.

"Pena, kamu kerja rajin-rajin ya nak. Biar bos nampak kamu. Biar cepat naik pangkat dan jadi orang besar. Takdelah malu ayah kamu duk canang-canangkan yang kamu tu hebat. Dulu, masa kamu cemerlang UPSR, apa lagi, ha.. PMR, SPM semua tu, dialah yang duk heboh-hebohkan. Kalau boleh satu kampung nak diberitahunya kamu tu otak geliga, belajar pandai."

Pena masih diam. Ada sesuatu yang mengusik hatinya.

"Ayah bagitau mak, kamulah satu-satunya anak dia yang selalu buat dia rasa bangga dari kamu kecil sampailah kamu dah besar panjang sekarang."


Nota kaki bercagu: Entah kenapa, penulis tak sanggup habiskan cerita ini. Para pembaca, biarpun siapa bapa kita, baik atau jahatkah dia, miskin atau kayakah dia, dia tetap bapa kita. Hargai bapa anda.


Saturday, June 26, 2010

PAC PTD M41

Penulis ingin berkongsi khabar terbaru dengan anda semua, penulis bakal menghadiri Program P.T.D. Assessment Centre (PAC) bagi memasuki perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik gred M41 di INTAN Kampus Wilayah Tengah (Intengah), Jalan Elmu, Kuala Lumpur pada 3 Julai ini.

Semoga penulis berjaya kucar-kacirkan mental fasilitator di sana sebelum mereka kucar-kacirkan mental penulis.


Nota kaki bercagu : Sebagai seorang calon. Bukan sebagai media yang membuat liputan ya.

Tuesday, June 15, 2010

Dilema Budak Baru


Mata Pena terasa pedih. Sekejap-sekejap dia jegilkan mata. Sekejap-sekejap dia pejamkannya pula. Sesekali dia menggosok-gosok mata yang mula berair.

Lima minit kemudian, Pena berhenti menaip dan bersandar malas pada kerusi. Dia hela nafas panjang-panjang dan hembusnya lambat-lambat. Punggungnya mula terasa kebas di sebelah kanan dan kiri. Sendi-sendinya pula terasa sakit di sana-sini.

'Aduhai' keluh Pena.

Sempat juga Pena pandang sekeliling. Suara manusia bercampur-campur dengan deringan telefon dan bunyi ketukan jari-jemari pada keyboard menjadikan suasana hingar-bingar. Semua orang punya aktiviti masing-masing. Ada yang sedang menulis berita. Ada yang membuat homework mengkaji latarbelakang sesuatu isu. Ada yang sedang bercakap dalam telefon. Ada juga seorang dua yang kusyuk membaca suratkhabar.

Pena kembali menghadap komputer. Ditenungnya monitor komputer lama-lama. Huruf-huruf yang tersusun berbaris-baris seakan-akan bergerak-gerak. Melompat-lompat hendak keluar dari monitor.

Dia tarik nafas sekali lagi dan kali ini hembus cepat-cepat.

Baru Pena tahu. Bukan senang rupanya hendak menulis satu-satu berita. Ia perlu fakta yang sahih. Ia perlu kata yang tepat. Struktur ayatnya pula perlu disusun ringkas dan padat.

"Jangan salah eja. Itu pantang yang paling utama sekali!" Pesan bosnya suatu ketika dulu.

Bagi Pena, ejaan bukan masalahnya. Ejaan hanya perlukan ketelitian. Sebelum dihantar masuk ke dalam 'basket' untuk disemak penolong editor, dia hanya perlu baca dan semak sekali lagi berita yang ditulis untuk elakkan kesalahan ejaan.

Bagi Pena masalah dia yang sebenar ialah untuk mempelajari dan menyerap gaya penulisan atau housestyle Utusan Malaysia. Ia mencabar kerana 100% lari daripada gaya penulisan dia yang sewel dan gila-gila. Ayat-ayat berita perlulah bersifat pasif. Selain itu, bukan semua perkataan boleh digunakan sewenang-wenangnya. Malah, ada perkataan yang langsung tidak diguna dalam penulisan berita walaupun perkataan itu lazimnya disebut dan digunapakai setiap hari.

Pendek kata, menulis berita ada seninya.

Hari ini, cabarannya Pena rasa berganda. Lebih sukar dari memahamkan kandungan RMK-10 yang berjela-jela panjangnya.

Pagi-pagi buta lagi dia sudah tercegat di hadapan Hotel Renaissance untuk menghadiri Konvensyen Sumber Tenaga Biojisim. Kali ini dia perlu jadi pelajar kejuruteraan biokimia. Dia perlu fahamkan konsep biojisim dan kelestariannya.

Balik ke office, dia perlu fahamkan teks ucapan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTHHA) serta estrak intipati utama ucapannya pula. Kemudian dia perlu terjemahkan ucapan itu daripada Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu dengan perkataan yang senang untuk orang awam faham. Dan susun sepadat-padatnya. Dan hias secantik-cantiknya.

5.15 petang! Sempat pula Pena menjeling sekilas masa yang terpapar di bahagian bawah sebelah kanan skrin.

45 minit lagi sebelum pukul 6. Entah kenapa, semangatnya langsung berkobar-kobar selepas melihat jam. Terus sahaja Pena betulkan duduk - tegak 90 darjah. Dan sambung tugasnya - menulis berita.

Sebenarnya Pena mengarang berita tentang 'biojisim' itu sejak dari pukul 12 lagi. Dia belum sempat lunch. Dia cuma harapkan tenaga daripada sisa-sisa sarapan yang masih belum dihadam di dalam perutnya.

Ah, Pena tak kisah!

Dia peduli apa perutnya lapar atau tidak. Yang penting, dia mesti habiskan kerjanya sebelum pukul 6. Kemudian keluar merokok. Kemudian duduk melangut tunggu penolong editor semak berita. Kemudian balik. Yay!

Di situ, waktu kerja mereka ialah dari pukul 10 pagi hingga 6 petang. Tetapi ia adalah perkara yang sangat luar biasa andai seseorang wartawan itu berjaya pulang tepat pukul enam. Rata-ratanya hanya dapat pulang selepas pukul tujuh. Segelintir pula, pukul 9 atau 10 malam.

"Pena, kau tolong buat press release ni!" Sapa seseorang dari belakangnya sambil menghulurkan helaian kertas bersaiz A4.

Pena tidak menoleh. Sebaliknya mencapai helaian kertas yang dihulurkan dengan muka ketat.

Dia sedar, dia adalah segelintir yang akan balik pukul 9 atau 10 malam nanti.

Thursday, June 3, 2010

Kerja Baru

Oh..

Kerja baru penulis langsung tidak memberi peluang untuk penulis berkarya di sini. Penatnyaaaaaaaa!!

Thursday, May 27, 2010

idea oh idea

Entah kenapa, banyak pula perkara yang berlegar-legar dalam ruang fikir penulis yang bijak pandai ini. Terus, kepala penulis jadi biol dan sedikit ting tong. Takut juga kalau-kalau ruang fikir penulis yang bijak pandai ini terus tergendala dan jadi bodoh dungu. Manakan tidak, segala-galanya jadi bercelaru, berselirat dengan pelbagai isu.

Jadi apakah isu yang membelenggu ruang fikir penulis yang bijak pandai sampai jadi buntu ni? *Sengih nampak gigi*

Penulis fikir, dua tiga hari ini, idea untuk penulis menulis berduyun-duyun tiba. Bertandang tanpa diundang. Terlalu banyak yang ingin penulis sampaikan sampai tidak tahu yang mana patut didahulukan.

Penulis ada terfikir hendak menulis tentang pro dan kontra pasangan kekasih tinggal bersama seperti yang dicadangkan oleh seorang pembaca, Ali (mungkin nama sebenar) sedikit masa dulu. Nanti bolehlah penulis kongsikan bersama pembaca pengalaman kami tinggal bersama dan apa implikasi atau kesannya terhadap hubungan asmara kami. Penulis juga dapat idea untuk menulis cerpen bertajuk "bila Samad minta cerai". Jalan ceritanya sudah ada. Yang pasti, ia sarat dengan unsur-unsur humor yang mampu membuat anda gelak guling-guling, atau sekurang-kurangnya sampai terangkat-angkat ponggong.

Bercerita tentang ponggong, teringin pula rasanya berkongsi dengan anda, ke-obses-an penulis terhadap ponggong. Tak kisahlah. lelaki atau perempuan. Dua-dua boleh buat penulis tak keruan*blushing, pipi penulis yang putih melepak mula merah kemerahan*

Pada masa yang sama, ilham untuk menulis tentang peel dan watak-watak PLU pelbagai ragam turut datang bertandang. Bukan apa. Sesekali tu, dek kerana tiada kerja hendak dibuat, adalah juga penulis duduk-duduk dan perhatikan dalam diam dan buat sedikit kajian, serta tinjauan secara rambang terhadap gelagat-gelagat PLU dan perangai mereka yang ada di Malaysia ini. Hurm, menarik juga kisah ni, kan?

Kemudian penulis ingin ceritakan betapa gersangnya penulis setiap hari sehingga mula berani update status yang bukan-bukan di Facebook. Dan penulis ingin kongsikan bagaimana sukarnya penulis menahan dugaan dari digoda pelbagai macam ragam manusia di facebook itu. Setiap hari, ada sahaja yang mengirim mesej tawarkan yang bukan-bukan. Ada juga yang tunjuk baik semacam. Dan paling buat bergetar jiwa dan bergegar iman, apabila yang mengorat kita itu hawt dan memang sedap dimakan.

Selain obses dengan jantan, ada juga terlintas di fikiran, ingin menulis tentang betapa obsesnya penulis terhadap perkembangan sukan. Sukan apa? Apa-apa sahaja. Asalkan melibatkan pasukan negara kita. Wah, patriotik bukan? Walaupun prestasi mereka kadang-kadang ado, kadang-kadang non ado!

Dan sekarang, semua idea itu datang bertindan-tindan tanpa sempat penulis coretkan satu persatu. Lalu penulis akur. Penulis akui. penulis bukanlah penulis yang produktif. Jadi tiada satu pun yang idea yang ditulis di atas, mampu penulis kembangkan dan jelmakan menjadi satu cerita penuh*hee, sengih nampak gigi sambil berpeluh*

Nota kaki bercagu: Salah satu cerpen eksperimental penulis, yang pernah penulis siarkan di sini bahagian pengenalannya sedikit masa dulu telah terpilih untuk dimuatkan dalam sebuah antologi cerpen yang akan siap dalam bulan Ogos nanti. Jadi penulis minta maaf tidak dapat siarkan cerpen tersebut di sini sehinggalah antologi tersebut berada di pasaran. Oh ya, terima kasih kepada para pembaca yang sudi mengirimkan email maklum balas terhadap beberapa isu yang yang pernah penulis tulis. Terima kasih ^_^

Sunday, May 23, 2010

Guruku


"Awak boleh jadi wartawan"

Penulis kurang pasti sudah berapa lama dia tercegat di situ. Bersandar di dinding, memeluk tubuh dan memerhati gelagat penulis. Dan penulis juga kurang pasti hendak memberi reaksi yang bagaimana terhadap sapaan dia.

Jadi penulis hanya mendongak memandangnya beberapa saat, tersenyum lawa, tunduk dan kembali melakukan kerja-kerja menulis.

"Cepat betul awak mencatat. Kagum saya tengok awak, Pena. Saya gembira awak ikut dan buat apa yang saya ajar. Catat poin-poin penting dulu. Kemudian buat draf. Buat rangka. Dan yang buat saya tambah kagum, hasilnya pun bagus. Seronok dibaca."

Kembang benar lubang hidung penulis mendengarnya.

"Kalau diasah betul-betul, awak ada potensi untuk jadi penulis yang hebat"

Lubang hidung penulis 'menten' kembang. Kepala mula besar.

"Awak tak nak jadi wartawan?"

Kali ini anak tekak penulis yang mengembang.

Wartawan? Erkk!

"Jadi wartawan tak glamorlah! Saya nak jadi doktor, Cikgu"

"Eh, bukan ke hari tu kau cakap nak jadi arkitek?" Tegur Nuar yang duduk di meja sebelah.

"Err,."

Cikgu Syuk tertawa kecil.

"Si Pena ni memang macam ni, Cikgu! Macam lalang. Tak tetap pendirian langsung!"

Ya. Memang benar penulis seperti lalang. Jika ditanya tentang cita-cita, jawapan penulis sentiasa berubah-ubah. Hari ini ingin jadi doktor, besoknya bertukar jurutera. Lusa peguam. Tiba-tiba tulat berangan untuk jadi juruterbang pula.

Ketika itu penulis baru berusia 13 tahun, dan baru beberapa bulan bergelar pelajar tingkatan satu. Di usia 13 tahun, secara rasminya penulis sudah layak digelar remaja. Tetapi penulis kira minda penulis masih berada di alam kanak-kanak riang ribena. Tidak ada halatuju. Tidak bermatlamat dan tidak berpendirian tetap. Penulis hanya ingin yang seronok-seronok sahaja. Jadual harian penulis; bermain di asrama, bermain di kelas dan bermain di mana-mana sahaja. Bagi penulis, biarlah masa depan tercorak dengan sendirinya tanpa perlu kita merancang terlebih dahulu.

Dalam penulis seronok-seronok dan leka menikmati alam remaja, tahun itu tetap menjadi tahun yang gemilang untuk penulis. Penulis cemerlang dalam hampir semua subjek dan berjaya menempatkan diri di ranking pertama kelas. Bertambah-tambahlah sayang Cikgu Syuk pada penulis.

Ketika itu juga, baik benar dia melayan penulis. Tak berwang, dihulurnya wang. Tak bersarapan dibelinya sarapan. Tak berteman diajaknya bersembang. Sedang elok berjalan, dipelawanya tumpang. Oh, penulis rasa sangat bahagia menjadi pelajar kesayangan guru Bahasa Melayu kelas kami itu.

Cikgu Syuk pernah pesan, untuk jadi pelajar yang cemerlang, penulis perlu tetapkan matlamat hidup mulai dari sekarang. Bila sudah ada matlamat dan hala tuju, kita tidak akan buang masa dan sentiasa berusaha mengejar apa yang diinginkan. Penulis angguk tanda faham. Jadi penulis tetapkan, cita-cita penulis mulai dari saat itu ialah untuk menjadi seorang doktor pakar bedah dan penulis akan jadikan cita-cita itu sebagai realiti suatu hari nanti.

Cikgu Syuk juga ada pesan, pemikiran penulis masih bersih tanpa noda. Jadi jangan sekali-kali terjebak dalam budaya songsang di asrama. Katanya, hidup di asrama, yang pelajarnya lelaki semua, memang besar dugaannya. Penulis angguk juga walaupun kurang faham. Budaya songsang? Patutlah ada abang-abang senior yang tidak segan silu pegang-pegang tangan sesama sendiri di tempat awam!

Cikgu Syuk juga pesan, sentiasalah menulis dan mengarang walaupun tak disuruh kerana dengan cara itu ia akan mengasah minda dan bakat menulis yang ada dalam diri penulis. Ketika itu penulis betul-betul tak faham. Kenapalah orang tua itu beria-ia benar ingin penulis aktif dalam bidang penulisan. Penulis ingin jadi doktorlah!

Selepas beberapa bulan penulis rapat dengan Cikgu Syuk, ada juga kata-kata yang tidak enak untuk didengar singgah di telinga. Ada yang kata, penulis anak emas Cikgu Syuk. Bukan setakat anak emas, malah anak ikan emas. Ada yang kata bodi penulis sudah tergadai dek kerana budi. Dan ada yang pertikaikan seorang guru tidak sepatutnya pilih kasih dan fokus pada seorang pelajar sahaja. Tetapi penulis sedikit pun tidak ambil kisah. Biarlah. Sekurang-kurangnya ada orang ambil berat tentang penulis di sekolah. Dan syukur, Cikgu Syuk tidak pernah membuat perkara-perkara tidak senonoh terhadap penulis. Penulis yakin, cakap-cakap belakang tentang hobinya yang suka membela 'anak ikan' tidak benar sama sekali. Penulis yakin, dia memang ikhlas menjaga penulis.

Langit tak selalunya cerah. Hidup tak selalunya indah.

Tahun seterusnya, penulis bergelar pelajar tingkatan dua. Diri mula rasa sedikit gah. Sudah besar. Sudah punya junior di bawah. Perangai penulis pun mula berubah. Malangnya perubahan itu bukanlah perubahan yang positif. Lebih banyak buruk dari baiknya. Pelajaran terabai. Prestasi jatuh merudum. Matlamat yang ditetapkan semakin jauh hedak digapai.

Penulis dan Cikgu Syuk? Dia tidak lagi mengajar kelas kami. Jadi kami sudah mula jarang-jarang bersua.

"Saya tengok perangai awak dah lain sangat. Awak banyak berubah. Kenapa awak jadi macam ni? Pelajaran merosot. Bercampur dengan orang yang bukan-bukan. Buat benda tak elok. Langgar peraturan sekolah. Ini bukan Pena yang berwawasan, Pena yang saya kenal dulu!"

Ditempelak begitu oleh Cikgu Syuk pada suatu hari, penulis naik hantu. Entah di mana silapnya, di mana salah dia, buat kali pertama penulis rasakan Cikgu Syuk adalah seorang lelaki tua yang sangat suka menyibuk.

"Cikgu tak payahlah nak ambil tahu hal saya sangat! Rimaslah! Cikgu dah tak ajar saya. Apa kata cikgu ambil berat budak-budak form 1 yang cikgu ajar tu!"

Muka Cikgu Syuk mula merah.

"Lagipun, cikgu kan suka bela anak ikan yang jambu!!"

Kali ini muka Cikgu Syuk sudah merah padam.

Hubungan baik kami tamat di situ.

Sejak kejadian itu, penulis tidak pernah berbaik-baik semula dengan Cikgu Syuk. Dia juga tidak pernah berusaha untuk berbaik-baik dengan penulis. Kami akhirnya langsung tidak bertegur sapa sehinggalah penulis naik ke tingkatan 4. Kami juga tetap tidak bertegur sapa biarpun penulis sudah naik ke tingkatan 5 dan bakal tamat sekolah. Dek kerana ego, penulis langsung tidak terfikir untuk meminta maaf. Bagi penulis, kami berdua sudah berkerat arang berputus rotan.

Hari ini, sudah lapan tahun penulis meninggalkan bangku sekolah.

Kata orang, kita hanya mampu merancang. Tuhan yang menentukan. Memang cita-cita penulis ingin menjadi seorang doktor pakar bedah. Atau jurutera. Atau peguam. Atau juruterbang. Tetapi entah bagaimana, tidak ada satu pun kerjaya yang tersenarai dalam barisan kerjaya impian penulis, berjaya penulis capai.

Sebaliknya, kerjaya yang penulis fikir tidak glamor, tidak gah, kerjaya yang disaran oleh seorang bekas guru yang suka menyibuk suatu ketika dulu, bakal menjadi kerjaya penulis.

Bulan depan, penulis bakal bergelar seorang wartawan.


Nota Kaki Bercagu : Selamat Hari Guru kepada semua insan yang sentiasa mencurahkan ilmu kepada anak bangsa tanpa jemu. Terima kasih Cikgu Syuk. Ampunkan saya , halalkan makan minum saya dan yang paling penting, halalkan ilmu yang pernah cikgu curahkan.

Tuesday, May 11, 2010

Anak-anak

Sejak kebelakangan ini, naluri seorang bapa semakin menebal dalam diri penulis. Penulis mula bercakap seperti seorang bapa. Penulis mula berfikir seperti seorang bapa. Dan penulis mula bertindak seperti seorang bapa. Menjaga. Mendidik. Mengasuh. Dan mencurahkan kasih sayang.

Anda janganlah salah faham. Penulis mula berangan jadi bapa bukanlah kerana Embi sudah beranak. Bukan juga penulis sendiri yang selamat melahirkan anak (choyyy!). Penulis berangan kerana kami sekarang sudah punya dua anak jantan, si kecil yang berekor, yang kami namakan Encuk Jr. dan Embi Jr.

Encuk Jr si adik bulunya lebat, hitam berceloreng putih. Kepalanya kecil. Matanya besar. Bulat bercahaya. Perutnya boroi. Ekornya pendek berpintal. Kakinya juga pendek. Bulu-bulu putih di kakinya membuatkan Encuk Jr seakan-akan memakai stokin. Tapak kakinya lebar kerana jarinya sedikit luar biasa. Encuk Jr berjari tujuh!

Embi Jr si abang pula, saiznya sedikit besar dari Encuk Jr. Embi Jr berbulu putih di bahagian bawah dan hitam pekat di bahagian atas. Matanya galak, kecil sedikit berbanding Encuk Jr. Badannya tegap. Bulunya lebat. Ekornya kembang dan panjang. Kakinya biasa-biasa sahaja berjari lima.

Encuk Jr seekor adik yang sopan. Hobinya makan. Pantang benar dipelawa makan. Yang bagusnya tentang Encuk Jr, makannya tidak memilih. Hidanglah makanan jenama apa sahaja, dia akan makan dan makan sampai kenyang. Dek kerana hobinya makan, Encuk Jr jadi sedikit bulat. Dan dek kerana kakinya yang pendek, dan badannya yang berat, larinya terkedek-kedek dan cepat pula nampak penat.

Personaliti Embi Jr pula jauh berbeza sama sekali. Kalau Encuk Jr lagaknya santun, Embi Jr pula kerjanya melompat terlantun-lantun. Nakal dan degil yang amat. Karenahnya pelbagai. Tunggang terbalik jadinya rumah di segenap tempat. Makannya pula memilih. Kami mula gusar dan pusing bila dia tidak mahu makan biarpun disuap. Terpaksalah kami beli dan cuba macam-macam jenama semata-mata untuk melihat dia makan dengan lahap.

Orang kata, kalau dah sayang, sanggup buat apa sahaja. Begitulah jadinya pada kami berdua. Embi sanggup biarkan tangannya dicakar sampai calar-calar. Semata-mata hendak memandikan Embi Jr yang culas dan buas sepanjang masa. Penulis sendiri, sanggup biarkan najis terpalit di badan dengan hidung kembang kempis menikmati udara beraroma ketika membersihkan 'jamban' mereka yang sentiasa penuh. Gara-gara tabiat Encuk Jr, si adik yang kuat makan, yang kerap pula aktiviti beraknya.

Sekarang, hendak pergi kerja pun terasa berat hati. Bimbang anak-anak di rumah tiada penjaga. Sudahlah rumah kami letaknya di tingkat lima. Mereka pula suka bergayut-gayut di jaring hijau yang kami pasang di beranda. Kalau tergelincir jatuh bagaimana?

Hendak makan pun penulis masih teringatkan anak-anak. Sudah makankah mereka? Elok lagikah biji-bijian makanan yang kami letak di dalam bekas itu? Atau sudah lemau masuk angin? Sudah tidak rangup dan tidak sedap lagi? Bagaimana pula dengan susu? Entah-entah sudah basi? Sakit pula perut mereka nanti!

Hendak tidur pun sama. Fikiran tetap tertumpu pada mereka. Penulis sampai turun naik katil dua tiga kali. Semata-mata ingin menjenguk mereka. Risau kalau-kalau anak-anak ketakutan dan kesejukan dibiar bergelap di dalam sangkar (tetapi itu hanya berlaku beberapa hari lepaslah. Sekarang budak-budak itu sudah tidur di atas katil bersama kami. Lokasinya ialah di celah kangkang penulis atau Embi. Hak hak hak!)

Orang juga kata, kita kalau dah sayang, langsung tidak berkira. Penulis terpaksa akui, bulan ini poket penulis koyak rabak. Belanja untuk mereka memang banyak. Habis satu bulan gaji membeli-belah dan membayar kos perubatan. Mahal sikit tak mengapa. Semata-mata untuk melihat anak-anak hidup selesa. Tiada apa yang boleh membuat kami gembira dari melihat dua beradik itu bermain dengan sihat dan ceria. Pendek kata, kami hanya ingin jadi ibu dan ayah yang terbaik buat anak-anak yang tercinta.

Menyentuh tentang ibu dan ayah, fikiran penulis terbang melayang jauh ke kampung seketika. Apa khabar agaknya orang tua penulis di kampung? Sihatkah mereka? Sakitkah mereka? Peningkah? Kalau tak salah, sudah beberapa hari penulis tidak menelefon mereka. Anak-anak selalunya begitulah. Mudah benar melupakan ibu ayah. Walhal, ibu dan ayah, setiap masa fikirkan begitu-begini tentang kita.

Sekali sekala, apa kata kita renung-renungkan dan imbas kembali pengorbanan seorang ibu yang bersabung nyawa ketika melahirkan kita ke dunia. Bermula saat kita melihat dunia, merangkak, berjalan dan berlari, si tua beruban inilah yang menyusukan kita dan menyuapkan makanan. Tangan lusuh berurat hijau dialah yang mengayun buaian, bersengkang pula mata siang dan malam untuk kita, semata-mata untuk memastikan anak tercinta dapat tidur dengan nyaman.

Sekarang renung-renungkan pula kudrat yang disumbangkan oleh seorang lelaki bergelar ayah yang bekerja memerah keringat membanting tulang empat kerat dari pagi sampai petang, kadang-kadang sehingga malam, semata-mata untuk memastikan anak isteri di rumah cukup makan minumnya serta mampu berbaju baru sekurang-kurangnya setahun sekali ketika menyambut hari raya.

Pendek kata, jasa, pengorbanan dan kasih sayang mereka berdua tidak ada tolok bandingnya. Tidak mungkin kita mampu membalasnya biarpun kita berhabis beribu-ribu, berjuta-juta membeli barang-barang berharga untuk mereka.

"Adik dengan abang, besar nanti jangan nakal-nakal. Jangan merayau rumah orang dan buntingkan kucing betina orang sewenang-wenangnya. Jangan kencing merata. Jangan berak merata. Dan jangan cakar sofa! Yang penting, jangan lupakan Daddy dan Papa, orang tua korang berdua!" Kata Embi suatu hari kepada budak-budak itu.

Geli hati penulis mendengarnya. Tetapi kata-kata Embi sedikit sebanyak membuat penulis berfikir tentang sesuatu hakikat. Hakikat yang setiap daripada kita adalah anak-anak dan setiap daripada kita juga akan menjadi ibu bapa kepada anak-anak kita pula.

Kalau penulis dan Embi mahukan yang terbaik buat Encuk Jr dan Embi Jr, begitulah juga ibu dah ayah kita inginkan yang terbaik buat kita. Sebagaimana tinggi harapan dan besar impian kita agar anak-anak kita membesar menjadi orang yang berguna dan berbakti kepada kita; orang tua mereka, begitulah tingginya harapan dan impian orang tua kita terhadap anak-anak mereka.

Para pembaca, sempena Hari Ibu yang baru saja berlalu dan Hari Bapa yang akan datang tidak lama lagi, penulis ingin berpesan kepada anda semua, hargai dan sayangilah, serta berbaktilah kepada kedua-dua orang tua anda. Dan kepada dua pembaca Pena Penis yang bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi, pesan penulis, jadilah ibu dan ayah yang terbaik untuk anak-anak anda.

Ratings and Recommendations by outbrain

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails