Tuesday, August 11, 2009

Mat Duwey Episod 1


Zaman kanak-kanak, penulis cukup rapat dengan Mat Duwey, abang ke-7 penulis. Jarak usia kami cuma dua tahun. Mungkin kerana jarak usia yang agak dekat, kami lebih serasi berbanding adik beradik yang lain yang jauh lebih dewasa.

Rupa kami tak jauh berbeza. Saiz badan juga serupa. Pakaian kami serba serbi sama. Cuma berlainan warna sahaja. Di kalangan orang luar, kami disangka kembar kerana persamaan dan keakraban kami.

Hari pertama di bangku sekolah rendah, penulis jadi popular dalam sekelip mata. Dan selepas itu kerap pula dibuli murid-murid yang lain. Gara-gara menjadi adik Mat Duwey, mamat bertubuh kecil yang nakal dan samsengnyanya tuhan sahaja yang tahu. Pelik tapi benar, yang kerap membuli penulis ialah mangsa buli Mat Duwey sendiri. Kes balas dendam kot?

Jika di sekolah penulis agak pasif. Di rumah, lain ceritanya. Penulis boleh jadi senakal-nakalnya. Seaktif-aktifnya. Hikmah berkawan dengan abang sendiri yang memang tak reti duduk diam dan kreatif mencipta permainan sendiri.

Kami pernah menjadikan tanduk lembu jantan milik Pok Ya (jiran kami yang cukup meluat dengan kami, dah arwah pun) sebagai sasaran pertandingan melastik kami. Siapa yang kena sasarannya paling banyak dikira pemenang. Kami juga pernah membuat ekperimen menjentik telor lembu jantan yang malang itu, serta menanam mercun di dalam taik lembu dan bersorak gembira apabila ledakannya habis terkena pakaian yang disidai Mok Yah (jiran sebelah rumah). Kami juga pernah dirotan Kak Long gara-gara terkantoi mengintai Linda, anak dara Mok Yah mandi. Kami juga pernah ponteng puasa makan asam boi di dalam kebun getah Pok Ya, dan lari lintang pukang berkaki ayam dikejar orang tua itu kerana disangka pencuri. Hasilnya, Mat Duwey terpijak paku yang berkarat. 3 hari dia demam tak ke sekolah. Kih kih kih..

Ketika itu, terlalu banyak aktiviti yang kami lakukan bersama. Bermain laga semut hitam. Berlawan ketuk biji pokok getah. Menangkap berudu. Mandi dalam parit. Panjat pokok dan curi rambutan Pok Ya. Main tikam2 (menang hadiah pistol air). Main lawan-lawan dan berangan jadi ahli kung fu. Dan macam-macam lagilah! Kalau nak disenaraikan, berkajanglah karangan penulis ni..

Penulis dan Mat Duwey juga hantu komik. Dewata raya, Alam Perwira, Pedang Setiawan, Dragon Ball, Dendam Kesumat adalah di antara komik yang menjadi koleksi simpanan kami secara rahsia. Rahsia? Yup, rahsia kerana kami beli komik-komik tersebut secara rahsia lah!

Mak dan Ayah kami bukanlah orang senang. Kerana faktor kemiskinan, penulis dan Mat Duwey dibawa ke pekan dan tinggal bersama Kak Long yang terkenal dengan kebengisannya. Kak Long (kitorang gelar mak tiri) sendiri pun bukanlah senang sangat. Dia hanya mengambil upah mengasuh anak jiran. Suaminya pula cuma seorang kerani cabuk. Jadi wang belanja penulis ketika di bangku sekolah rendah cuma 50 sen. Campur dengan wang belanja Mat Duwey, dapatlah RM1 sehari. Dek kerana ingin membeli komik, kami sanggup tahan lapar dan ikat perut ketika di sekolah. Hasil tabungan tersebut, kami belilah komik yang diidam-idam secara diam-diam tanpa pengetahuan Kak Long.

Satu lagi minat penulis dan Mat Duwey yang dikongsi bersama ialah menonton filem Hindustan.

Kami adalah peminat setia 3 Khan ~ Shah Rukh Khan, Aamir Khan dan Salman Khan. Setiap hari Jumaat, RTM2 akan siarkan cerita Hindustan. Setiap hari Sabtu, TV3 pula siarkan. Jadi melangutlah kami berdua di hadapan TV setiap hari Jumaat dan Sabtu. Minat punya hal, Mat Duwey kemudian cadangkan kami kumpul wang untuk beli kaset soundtrack filem Hindustan. Dua minggu ikat perut kumpul duit, akhirnya berjaya juga kami beli kaset cetak rompak pertama kami, "Koleksi Hits Shah Rukh Khan".

Dalam kaset tersebut, "Dilwale Dulhania Le Jayenge" adalah lagu siulan kami berdua. Teringat pula suatu petang tu, kami sama-sama duduk meniarap sambil masing-masing memegang pen dan kertas, sambil tekun mendengar lagu tersebut melalui cassete player milik Arith (anak tunggal Kak Long yang dibenci gara-gara suka berlagak dan mengungkit, serta suka mengadu). Apa yang kami lakukan, kami mainkan lagu serangkap. Kemudian pause. Dan cepat-cepat tulis lirik di atas kertas. Proses itu kami ulang sehinggalah habis satu lagu. Dan langkah seterusnya, hafal!!

Bulan bersilih, tahun berganti. Koleksi komik kami lama-lama semakin bertambah. Begitu juga dengan koleksi kaset Hindustan Kami. Mula-mula kami sorok di bawah tilam. Kemudian dalam almari. Kemudian di bawah katil. Sehinggalah rahsia yang kami simpan bertahun-tahun itu terbongkar, gara-gara Arith mengadu pada mak dia yang kami rosakkan cassete player dia. Kak Long yang tak tahu menahu tentang rahsia kaset Hindustan terus jadi tahu. Yang harunya, rahsia koleksi komik kami turut terbongkar sama.

Kak Long terus mengamuk sakan. Penulis dan Mat Duwey dibedal dengan penyapu. Sakitnya bolehlah tahan. Berbirat juga lah!! Yang kelakarnya, Mat Duwey diam sahaja. Tabah menerima hukuman. Penulis pula meraung punyalah kuat sehingga boleh didengari jiran-jiran. Sengaja penulis jerit kuat-kuat. Biar jiran dengar. Biar diorang ingat Kak Long dera kami. Masalahnya, tak ada pula jiran yang bersimpati. Agaknya mereka dah masak dengan perangai kami. Lagipun ramai yang makan hati dengan kenakalan kami.. kih kih kih...

Paling buat penulis terkilan, Kak Long tergamak bakar semua komik-komik dan kaset-kaset Hindustan kami hari tu juga. Segala-galanya berlaku terlalu pantas sehingga kami tergamam blur dan tidak sempat berbuat apa-apa. Ketika Kak Long sibuk mencampakkan koleksi kesayangan kami ke dalam api sambil mulutnya tak henti-henti berleter, penulis sempat pandang Mat Duwey.. Ada air yang bergenang di matanya.

"Ko janganlah sedih-sedih, Wey.. Nanti kita belilah lagi. Dah besar nanti, dah ada duit, aku beli banyak-banyak kaset Shah Rukh Khan. Ko je yang aku bagi pinjam. Tapi ko kene sewa lah..Satu kaset dua ringgit." Penulis cepat-cepat pegang tangan dan usap bahunya.

Di hadapan api yang marak menyala, tumpah jua air mata Mat Duwey. Kami terduduk dan menangis bersama-sama sampai bengkak-bengkak mata..

9 comments:

DarcyDiaries said...

So sweet..
I wish I can turn back time too..

zua the great said...

ooo cik penulis membesar kelate ek..sama la kiter..

jangan kan duwey...zwa pon ase cam ada air bertakung..sadis sgt...

avegalion said...

membesar kat kg mmg seronok... mcm2 activity kreative leh buat.. hehee

terkenang lak zaman dolu2.. hehee

Joey said...

i dont have any brothers ..at all

but still fun!!

nazzman ibrahim said...

kelakar pun ada sedih pun ada mmg best enrty kali ni

Pojiepooh Abdullah said...

sooo sweettt..
bestnyer ada abg yg susah senang sesama..

Arie Anuar said...

bes kan life zaman kanak2..
=)

Penapenis said...

Guys, jgn lupa baca kisah ini yang part 2 ya..

Unknown said...

awak... sedih sgt baca entry ni... bergenang air mata ni sbb rasanya kita adalah dr zaman yang sama kot? tgk filem hindustan, hurm,,,,, suka sgt dgn cara penulisan awak... buatlah satu novel please....

Ratings and Recommendations by outbrain

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails