"
Awak nak ais krim" rengek seorang teman, A.
"Nak yang mana? Roti atau yang kon? Saya belanja" balas teman seorang lagi, yang merupakan pasangan si A, B namanya.
Air mata penulis bergenang. Pelik bukan?
Penulis boleh tersentuh hati mendengar perbualan dua orang teman mengenai ais krim.
Bagi sesetengah orang, perbualan itu mungkin biasa. Terlalu biasa sehingga tidak ada apa-apa yang luar biasa.
Bagi segelintir yang luar biasa, atau mungkin boleh kita anggap sebagai gatal, mereka mungkin berfikiran luar biasa dan menganggap perbualan itu luar biasa.
Dalam cerita ini, penulis harap para pembaca bersihkan minda masing-masing kerana tidak ada apa-apa yang luar biasa. Hanya ais krim semata-mata.
"Aku nak jugak. Belanjalah aku.." sampuk penulis, cuba-cuba untuk bermanja juga.
Respons yang menulis dapat adalah negatif. Harga ais krim itu hanya seringgit. Malangnya entah kenapa tidak si A, mahupun si B menyahut dan mahu melayan permintaan penulis.
Mungkin mereka menganggap penulis sekadar mengada-ngada. Mungkin mereka menganggap penulis sekadar merengek suka-suka.
Atau mungkin mereka menganggap penulis bukan siapa-siapa.
Air mata penulis bergenang lagi. Kali ini tumpah sedikit.
Penulis keluarkan dompet. Menarik keluar not seringgit dan cepat-cepat mendekati si penjaja ais krim.
"Abang, bagi saya satu ya. Sama macam kawan saya yang dua orang tu,"
Ais krim yang penulis beli itu, konnya tirus di hujung, dan punya tiga corong. Dengan seringgit itu, penulis dapat tiga scoop ais krim berperisa vanilla dan kelapa yang dilitupi dengan sedikit cairan karamel.
Tidak ada yang luar biasa. Fizikalnya sama sahaja dengan ais krim yang dibeli si teman tadi, tetapi penulis tetap memandang A dan B dengan rasa cemburu. Dan sayu.
Ya, bentuk dan rasanya sama sahaja. Vanilla dan kelapa bersama sedikit cairan karamel yang manis. Dan sejuk beruap.
Tetapi nilainya bagi penulis, beratus-ratus kali tidak sama.
Jika penulis di tempat A, penulis akan tersenyum bangga dan gembira bukan kepalang kerana mempunyai seseorang yang cukup menyayanginya iaitu B.
Jika penulis di tempat B pula, penulis juga akan tersenyum puas dan gembira bukan kepalang kerana mampu berbakti kepada seseorang yang cukup disayanginya iaitu A.
Sejujurnya, penulis berasa sayu kerana penulis pernah berada di tempat A dan B.
Ketika itu, penulis rasa sangat gembira dan bahagia kerana mempunyai seseorang yang sudi mencurahkan kasih sayangnya terhadap penulis.
Lebih bahagia, penulis juga berpeluang mencurahkan kasih sayang terhadapnya. Kami berdua saling sayang menyayangi.
Malangnya itu cerita dulu. Cerita yang tamat kira-kira tiga bulan yang lalu.
Penulis dan Embi, kami bukan lagi pasangan kekasih.
Itulah kenyataannya. Buat masa ini, sehingga cerita ini ditulis, penulis bukan siapa-siapa di hati siapa-siapa.
Penulis hanyalah seorang pemuda yang hidup sendiri-sendiri.
Tidak disayangi mahupun dicintai.
Membelikan ais krim yang berharga seringgit pun tidak ada yang sudi.