Wednesday, August 11, 2010

Di mana bapanya

Mukanya berpeluh-peluh. Berminyak, berkilat-kilat. Rambutnya yang ikal kusut tidak bersikat. Kulitnya kemerahan terbakar dek sinar matahari. Sesekali dia tersengih-sengih kerang busuk menampakkan giginya yang kuning rongak.

Baju T putih yang dipakainya bertompok-tompok dengan pelbagai warna. Hitam, kuning, merah, hijau. Seluarnya yang lusuh pula koyak di lutut kiri dan kanan. Badannya berbau masam. Entah mandi entah tidak.

Pendek kata, penampilan Camiey memang tidak terurus dan terjaga.

Tak ubah seperti anak kecil yang tidak berbapa.

************

Sekejap-sekejap dia lari sini sana. Sekejap-sekejap dia terlompat-lompat. Sesekali dia terkinja-kinja.

Beberapa ketika kemudian, dia hilang. Tahu-tahu sahaja, dia sudah duduk bertenggek di atas dahan pokok rambai. Kalau ditegur, dia akur. Dia turun dan cepat-cepat lari jauh ke dalam semak sambil mengelek anak kucing, Si Lobo di celah ketiaknya.

Kalau tidak dipantau, silap-silap haribulan Lobo sudah dicampaknya hidup-hidup ke dalam perigi buta di belakang rumah.

Bercerita tentang Camiey, Penulis sudah naik jemu melayan keletahnya. Anak buah penulis yang berusia tujuh tahun itu memang nakal.

Luar biasa nakalnya.

Tak ubah seperti anak kecil yang tidak berbapa.

***********

Jadi di manakah bapanya? Tidak hiraukah dia pada si anak kecil bernama Camiey itu? Atau, memang benar Camiey tidak berbapa?

Kata orang kebenaran kadang-kadang menyakitkan.

Ya.

Camiey memang si anak kecil yang tidak berbapa.

Baru sebulan bapanya meninggal dunia.

*************

Menoleh 20 tahun ke belakang, penulis sebenarnya berkongsi sifat yang sama dengan Camiey.

Nakal. Lasak. Dan buas.

Mujur penulis ada seseorang yang boleh dianggap seperti bapa untuk mengawal penulis. Yang garangnya macam singa jantan.

Jadi hendak tak hendak, penulis terpaksa mendisiplinkan diri kerana takutkan libasan rotannya.

Hari ini, penulis berkongsi nasib yang sama dengan Camiey.

Seperti ada sesuatu yang menyesakkan dada penulis untuk mengakui tetapi itulah kebenarannya.

Hari ini genap sebulan singa jantan itu meninggal dunia.

*************

Al Fatihah buat Abang Long. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.

3 comments:

Lasykar Langit dan Bumi said...

Al-fatihah...

Salam Ramadhan buat penulis...

Anonymous said...

Al Fatihah..

Eddie said...

Takziah buat Pena & keluarga..

Salam Ramadhan Al-Mubarak :)

Ratings and Recommendations by outbrain

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails