Tuesday, September 28, 2010

Hikayat M & M


Bukan sekali. Bukan dua kali. Tiga kali pun bukan. Empat lima kali pun tidak termasuk carta. Yang Mail tahu, sudah berkali-kali. Bilangannya sudah tidak larat hendak Mail kira kerana terlalu kerap dia ditolak Midah.

Ini bukan nikmat berumahtangga. Ini bala! Getus Mail.

Dia bukan minta yang bukan-bukan. Bukan minta harta. Jauh sekali wang belanja. Dia hanya minta haknya. Hak untuk bersama Midah.

Apa guna berkahwin, tinggal sebumbung berkongsi katil, tetapi tidak bersama.

Setiap kali Mail menggoda. Midah menepis manja.

"Sabarlah Bang Mail. Midah tak sedia."

Entah bila agaknya Midah hendak bersedia kerana kalau dihitung-hitung, sudah masuk dua tahun rasanya mereka tidak bersama langsung.

Empat tahun lalu, Mail dan Midah berkahwin atas dasar suka sama suka. Tidak ada siapa-siapa pun yang paksa mereka kahwin. Mail cinta dan kasih Midah. Midah cinta, kasih, dan tak boleh hidup tanpa Mail.

Mereka berkenalan dalam laman sembang di Internet. Ketika itu, Mail masih belajar. Umur baru 20 tahun. Midah pula bekerja sebagai pereka grafik di sebuah syarikat terkemuka. Usianya sudah cecah 30.

Sepuluh tahun jarak usia bukanlah penghalang cinta mereka. Buktinya, kenal tak sampai seminggu, Midah meminta Mail melamarnya.

Masih terngiang-ngiang lagi pujuk rayu Midah di corong telinga capangnya.

"Bang Mail, Midah ni umur semakin meningkat. Semakin lewat nanti jadi semakin senja. Kalau sudah senja, maknanya dah nak malam. Midah takut juga kalau-kalau malam yang datang tidak berbulan."

Mail ketika itu teragak-agak hendak menjawab ya atau tidak. Macam-macam yang Mail fikir. Dia fikirkan Mala. Dia fikirkan Maznah. Dia fikirkan Marina. Takkan mahu ditinggalkan sahaja awek-awek montok itu yang menjadi penemannya di kampus.

Sedar tak sedar terpacul perkataan 'ya' dari mulut Mail.

Dua minggu kemudian, mereka bertunang. Tak sampai sebulan bertunang, mereka diijabkabulkan. Meriah majlisnya. Berseri-seri wajah Midah ketika ditepung tawar. Tersengih-sengih dia setiap masa. Hajatnya hendak naik pelamin akhirnya tercapai. Yang paling dia puas hati, kumbang yang menyuntingnya bukan sebarang kumbang. Kumbang muda yang serba kekar.

Elok pula parasnya persis Nabil Raja Lawak.

Mail?

Masih tidak percaya dia berkata 'ya'. Aweknya, Mala hanya mampu telan air liur. Maznah pula bercucuran air mata sampai habis basah tilam dan bantal.

Marina paling teruk. Terpekik-pekik, terus pitam dan demam sebaik sahaja melihat namanya di'tag' pada gambar persandingan Mail dan Midah dalam facebook.

bersambung...

2 comments:

Fauzzan Helmy Anuar said...

Sila sambung cerita ini secepat mungkin. Kalau boleh sediakan sekali butang rate ke hape ke, jadi saya boleh undi!!!
+)

Lasykar Langit dan Bumi said...

hehehe sgt2 lucu.... olahan semula hahaha memang siot!!!

Ratings and Recommendations by outbrain

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails