Monday, September 27, 2010

Pena who?

Pejam celik, pejam celik, hari berganti minggu. Bulan bersilih satu persatu.

Sedar tak sedar, semalam telah ditinggalkan menjadi sejarah. Esok yang menunggu entah muram, entah redup, entah mendung entah cerah.

Seakan terlalu sekejap masa itu berlalu..

Tiga bulan lalu, kreativiti penulis tidak terbatas. Penulis bebas berfikir dan bebas menzahir apa yang difikir.

Kini, selepas tiga bulan, haluan fikiran penulis jadi sehala. Tiada lagi cabang-cabang yang bercambah entah ke mana-mana.

Ketukan keyboard penulis pula jadi suram tidak berirama. Tidak lagi meriah dengan taipan huruf yang membentuk ayat puitis menjadi cerita.

Menjadi wartawan bagi penulis tidak mudah. Banyak yang perlu dikorbankan. Tenaga. Ringgit. Masa untuk keluarga. Ruang untuk si dia. Tidak lupa, maruah diri.

Bagaimanapun, persetankan semua itu dulu kerana penulis belum bersedia mengolah ceritanya.

Kali ini, kisahnya tentang penulis merasakan penulis bukan diri penulis.

Bukan lagi seorang penulis bebas yang teruja berpanglipur lara.

Penulis sekarang adalah seorang penulis berita yang terikat kaki dan tangannya tanpa kreativiti untuk berkarya.

Kami, wartawan di meja berita dididik menulis berita dengan gaya senada. Ayatnya padat, ringkas, tidak romantis tiada bunga-bunga.

Tolak ke tepi kreativiti. Yang penting fakta dan isi.

Jangan sekali-kali fikir untuk berimprovisasi. Andai berani, buatlah.

Yang pasti tetap diedit editor sampai hilang originaliti . Silap-silap, dibakul sampah jika nilai beritanya bertaraf alas kaki.

Tiga bulan penulis cuba menyesuaikan diri. Membuang bunga-bunga bahasa. Membuang identiti seorang blogger ber'hati kama'.

Sukar memang sukar, walaupun akhirnya penulis berjaya.

Hasilnya, I am no longer myself.

Itulah harga yang perlu penulis bayar untuk surat pengesahan jawatan yang baru penulis terima.

Nota: Entry ini mula ditulis sejak sebulan yang lepas :: Penulis mengambil masa yang lama untuk menyiapkannya kerana otak penulis agak beku untuk mencipta ayat seperti dulu-dulu :: Bagaimanapun, penulis sedang berusaha untuk menjadi seorang blogger bergelar 'Pena Penis' semula.

1 comment:

Comic Lover said...

ingatkan dh nk tutup blog nih... cubalah jadik cam dulu... bestlah baca ayat2 u dulu.. skrg ni hampeh

Ratings and Recommendations by outbrain

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails