Tuesday, August 2, 2011

Terang

Tepat pukul empat, deringan telefon bimbit yang dikunci jamnya mengejutkan abang kacak. Butang 'tidur sebentar' ditekan. Dan abang kacak mengerekot kesejukan sambil menghabiskan baki-baki dengkur.

Lima minit kemudian, deringan encik telefon kembali membingitkan telinga. Mahu sahaja abang kacak campakkan encik telefon tak reti bahasa itu ke luar tingkap.

Bukan abang kacak tidak mahu bangkit dari tidur. Memang abang kacak sudah merancang untuk bersahur. Masalahnya, abang kacak terlalu sayang untuk mengorbankan waktu tidur. Terlalu mengantuk rasanya. Seolah-olah ada setan-setan mini yang bergantungan di kelopak memujuk mata supaya terus terkatup.

Tetapi setan semua bukankah sudah diikat sepanjang Ramadan?

Mahu tak mahu, abang kacak terpaksa membuka mata, meraba-raba dalam gelap mencari cermin mata supaya mata yang rabun kembali terang.

Entah macam mana, dunia abang kacak bukan sahaja tidak rabun, malah tiba-tiba bercahaya silau terang benderang.

2 Ogos bersamaan 2 Ramadan. Abang kacak bersahur pukul 8.

No comments:

Ratings and Recommendations by outbrain

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails