Monday, July 13, 2009

Anak Wayang VS Pilih Kasih



Penulis bukanlah hantu TV. Untuk duduk melangut di hadapan TV, mengunyah kuaci sambil menanti program kesukaan bersiaran, rasanya terima kasih sajalah. Penulis hanya menonton bila diri ini sudah terlalu lapang atau bila terlalu bosan menghadap komputer peribadi. Cuma semenjak dua menjak ini, penulis sering terpandang promo dua program TV realiti di mana-mana saja. Gahnya program tersebut dicanang-canang, diuar-uarkan sepelusuk ruang. Dua-dua hebat promonya. Tetapi bagaimana dengan program itu sendiri? Hebat sangat ke? Lalu, terbukalah hati penulis untuk duduk melangut di hadapan TV sambil mengunyah kuaci. Menonton dua pentas berbeza yang berkongsi misi.


Anak Wayang dan Pilih Kasih. Seperti program realiti TV yang sudah-sudah, dua program ini turut menjadikan jari penonton melalui SMS sebagai juri. Cuma konsepnya lebih menarik. Lain dari yang lain. Disebabkan misinya ialah mencari pelakon baru yang berbakat. Sehingga artikel ini ditulis, Anak Wayang (AW) sudah pun hampir menutup tirai. Pilih Kasih (PK) pula sudah masuk minggu ke 7. Rasanya masih belum terlambat untuk penulis bercerita mengenai kedua-duanya. Lagipun dua-dua masih panas. Masih hangat diperkatakan. Dengar dari cakap-cakap orang, AW lebih bagus. PK pula kurang bagus. Tetapi ada pula berpendapat sebaliknya. Penulis pula bagaimana? Nah, ini kata penulis.


Gimik permulaan Pentas Anak Wayang (PAW)dengan laluan karpet merah artis popular memang tampak gah. Sebaik sahaja penulis menontonnya, penulis merasakan PAW akan berlangsung dalam suasana yang cukup meriah. Ironinya, perjalanan program selepas itu tidak semeriah gimiknya. Selepas kata-kata aluan dari pengacaranya (yang kelihatan begitu 'underdog' sekali), PAW cepat-cepat diteruskan dengan segmen pertama dalam suasana serba suram. Pilih Kasih? Tiada karpet merah. Tiada kelibat artis tersohor. Tiada gimik penambah glamor. Mereka terus sahaja bermula dengan persembahan pembukaan Pentas Pilih Kasih (PPK). Ibarat konsert, penulis terasa kemeriahannya. Para peserta tampil dengan persembahan pembukaan mengikut tema PPK yang berbeza-beza setiap minggu. Antara persembahan pembukaan yang paling penulis ingat, ketika tema Momok di minggu keempat. Memang menjadi. Memang melekat di hati.


'Agaknya PAW tak ingin membuang masa melatih para pesertanya dengan persembahan yang bukan-bukan. Mereka cuma ingin fokus pada pengisian PAW itu sendiri dalam memastikan misi dan visinya tercapai,' bisik penulis pada diri sendiri, optimis.


PAW dibahagikan kepada 3 cabaran. Untuk persembahan pentas, cabarannya ialah lakonan situasi dan lakonan skrin hijau. Penulis puji dari segi objektif kedua-dua cabaran tersebut - menguji daya kreativiti dan kemampuan peserta berlakon secara spontan. Peserta harus peka. Mereka perlu bijak mengawal keadaan. Malangnya majoriti peserta tidak berjaya menampilkan persembahan yang menarik. Mereka hilang fokus. Mereka menjadi tidak tentu arah dan mula membuat perkara-perkara yang tidak masuk akal. Cabaran situasi sedih, penonton tergelak-gelak melihat aksi janggal peserta. Cabaran situasi marah, penonton masih ketawa mengekek melihat aksi yang entah apa-apa. Bila tiba situasi lawak, penonton terdiam kerana tidak faham lawak yang dibuat oleh peserta. Lalu segala-galanya nampak bodoh di mata penonton semua.


Dalam PPK, peserta juga diuji dengan 3 cabaran. Untuk persembahan pentas, mereka diuji dengan monolog dan teater muzikal. Memandangkan PPK tampil dengan tema yang berbeza-beza setiap minggu, monolog dan teater muzikal juga dipersembahkan mengikut tema. Ikhlas penulis katakan, penulis sukakan cabaran teater muzikal. Peserta bukan sahaja perlu berlakon, malah menari (sayangnya dalam nyanyian mereka perlu miming)! Oh ya! 20 peserta. 20 watak. Ada yang memegang watak utama. Ada yang memegang watak pembantu. Ada yang jadi props seperti bunga sahaja. Mana mungkin kita boleh menilai para peserta jika melalui persembahan teater sahaja bukan? Maka sebab itulah wujudnya cabaran monolog di mana setiap peserta dikehendaki bermonolog mengikut skrip yang diberi. Dari situ, kita boleh menilai siapa yang faham erti artikulasi dan intonasi. Siapa yang bijak mengolah bahasa badan dan siapa pula yang mempunyai penghayatan yang tinggi.


Dari segi persembahan pentas, penulis berpihak kepada PPK. Memang benar peserta PAW lebih berdikari kerana persembahan mereka tidak terikat pada pengarahan. Tetapi kebanyakan peserta masih hijau ilmu lakonannya. Mereka masih perlu dibimbing. Pergerakan mereka masih perlu dirancang supaya tidak hilang arah. Manakala dalam PPK, peserta terlebih dahulu dikoordinasi gurunya. Hasilnya, persembahan mereka lebih kemas, teratur dan menghiburkan. Terlalu bergantung pada guru? Isu itu tidak timbul kerana pelaksanaannya terletak pada peserta itu sendiri. Jadi terpulanglah kepada mereka untuk mengaplikasikannya dalam usaha menyerlahkan potensi masing-masing.


Dalam PAW, cabaran ketiganya ialah drama sebabak. Cabaran tersebut memerlukan peserta melakonkan watak yang dipertandingkan dalam satu babak. Konsepnya bagus kerana penonton dapat membuat perbandingan dan menilai setiap peserta sebelum mengundi siapakah yang dirasakan layak memegang watak tersebut. Dalam PPK pula, cabaran ketiga ialah 2 drama bersiri yang dilakonkan oleh kesemua 20 orang peserta. Watak mereka akan dimatikan satu persatu setiap minggu berdasarkan penyingkiran. Berbanding drama sebabak PAW yang tiada kesinambungan, konsep drama bersiri PPK penulis sifatkan lebih baik kerana membolehkan para penonton melihat perkembangan dan peningkatan setiap peserta yang didedahkan dengan pelbagai cabaran baik mental mahupun fizikal semasa di set penggambaran dari minggu ke minggu.


Sejujurnya, penulis masih keliru dengan format AW. Imbas kembali kepada formatnya, 25 peserta dibahagikan kepada 5 kumpulan mengikut 5 watak yang dipertandingkan. Setiap minggu, satu kumpulan yang terdiri daripada 5 peserta akan menyahut cabaran PAW untuk merebut satu watak. Minggu seterusnya, kumpulan yang seterusnya akan mengambil alih PAW untuk merebut watak yang lain pula. Rutin yang sama akan berjalan sehinggalah tiba giliran kumpulan yang kelima. 5 peserta yang berjaya memegang 5 watak tersebut kemudiannya diserap ke sebuah drama bersiri dan akan bersaing sesama sendiri untuk merebut gelaran Anak Wayang. Kedengaran agak menarik, tetapi penulis terfikir, apakah manfaat program AW pada 20 peserta yang lain? Bergunakah program ini untuk membantu mereka menimba ilmu dan sekaligus mengukir nama dalam industri? Penulis juga tercari-cari di mana versatiliti peserta jika penekanan hanya diberi kepada watak-watak tertentu yang dipertandingkan sahaja. Tambahan pula masa untuk 5 peserta setiap kumpulan bersama AW terlalu singkat. Sempatkah menimba ilmu lakonan selama seminggu jika ianya seluas lautan?


Lain pula dengan format PK. Daripada 20 orang pelajar, 10 orang daripada mereka akan disingkir satu persatu sehingga minggu ke 10. Setiap minggu, mereka diuji dengan watak yang berbeza-beza mengikut tema PPK. Jika bernasib baik, peserta yang kekal hingga minggu ke 10 akan berpeluang melakonkan 10 watak yang berlainan. Bukankah itu satu peluang keemasan kepada peserta untuk menimba ilmu sebelum lahir sebagai seorang pelakon yang versatil? Kami sebagai penonton juga dapat melihat bakat dan potensi peserta dicungkil serta dikembangkan dari satu minggu ke satu minggu. Secara tidak langsung, elemen favouritisme akan wujud dan sudah tentu ianya bagus untuk menggalakkan penonton mengundi peserta kegemaran mereka!


Secara keseluruhannya, penulis berpendapat program Anak Wayang sebagai sebuah program realiti yang syok sendiri. Ia ibarat satu sesi casting bagi sebuah drama TV (yang lazimnya dibuat secara tertutup) yang ditayangkan untuk tontonan umum. Manakala program Pilih Kasih pula lebih bersifat akademi, di mana ia mampu menjadi platform terbaik untuk para pelajar mengasah bakat masing-masing.

Kata penulis, Pilih Kasih 10 kali lebih baik dari Anak Wayang. Lagipun, habuan untuk 5 finalis Pilih Kasih ialah watak-watak utama dalam filem, bukannya watak-watak sampingan dalam drama bersiri!

P/S Minggu paling best Anak Wayang ialah minggu Mekanik.. Ahak hak hak... Oh ya, gambar di atas hanya ilustrasi semata. Tidak ada kena mengena dengan corak penulisan penulis.

3 comments:

joey said...

erm..ulasan yang baik...

mungkin betul PK lebih baik dari AW..

cuma satu jer kelemahan PK...

Salah pilih saluran..It sound silly..tapi saluran RTM sudah meneyebabkan orang ..like me..terfikir..tua, kurang hip..dan membosankan..dan saya tak bercakap dari segi ilmiah and rasanya saya lebih ingat tarikh siaran PAW atau JLL berbanding PK...

The main thing is, promotion yang sehabis boleh dan happening

mungkin RTM ni betul2 kena makeover ...

DarcyDiaries said...

Hello there..

Ermm...a very well written, elaborative posting indeed! U memang boleh bukak ruangan komentar..memang hebat!


I should have learnt from u and start working on a magazine.
And stop working! Kan?

Pena Anak Penis said...

Joey: Agree!
Darcy: U can read my AW VS PK ni kat akhbar sinar on Tuesday. However, the writer is not me..instead and i'm so upset!!

***Lets work on that magazine together! Our very own magazine!!!!!**

Ratings and Recommendations by outbrain

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails